JUN 2024

Sarawak Akhiri Kunjungan Hormat Sukma, Para Sukma 2024 Di Sabah


KOTA KINABALU: Kerajaan Sarawak telah melengkapkan kunjungan hormat di semua negeri di Malaysia termasuk Brunei Darussalam bagi mempelawa untuk menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Kunjungan hormat terakhir diadakan hari ini ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di pejabat beliau di Kota Kinabalu.

Delegasi Sarawak diketuai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Ketika ditemui, Abdul Karim merakamkan penghargaan ke atas Hajiji dan Kerajaan Negeri Sabah kerana menerima pelawaan untuk menghantar kontinjen mereka.

Dalam pada itu, Fatimah berjanji kontinjen Para SUKMA Sarawak akan membariskan kontinjen terkuat untuk merampas mahkota kejuaraan dari tangan Sabah.

"Kita juga pastikan akan memberikan saingan yang hebat kepada kontinjen Sabah nanti," ujarnya dengan nada penuh semangat.

Hajiji dalam pada itu melahirkan keyakinan Kerajaan Sarawak mampu menjadi penganjur terbaik SUKMA dan Para SUKMA XXI 2024.

Untuk rekod, SUKMA Ke-21 akan berlangsung mulai 17 hingga 24 Ogos depan di sembilan bahagian negeri yang akan mempertandingkan sebanyak 37 sukan.

Para SUKMA Ke-21 pula akan diadakan mulai 22 hingga 28 September depan di Kuching dengan mempertandingkan 10 jenis sukan.

GAMBAR: UKAS